Friday 29 July 2011

KENANGAN BANJIR DISEMBER TAHUN 2000...

Assalamualaikum dan salam perkenalan...

Saya ingin menceritakan pengalaman banjir saya pada Disember tahun 2000...
Waktu itu saya masih kecil lagi...saya berumur 7 tahun..walaupun begitu, saya masih ingat lagi peristiwa banjir tersebut dan ia memang sukar untuk dilupakan...

Setiap tahun, banjir akan berlaku di daerah Besut, Terengganu. Akan tetapi banjir pada Disember tahun 2000 merupakan satu kejutan kerana sebelum ini tidak pernah berlaku lagi banjir yang sebesar ini sepanjang hidup saya.

Mengimbau kembali pengalaman banjir pada Disember tahun 2000 di Kampung Gong Kemuntong (KGK), Jerteh, Besut, Terengganu, ia merupakan pengalaman yang pahit pada orang lain tetapi ia merupakan kenangan manis bagi saya.

Sebelum ini, kampung saya sering dilanda banjir kerana ia terletak berhampiran sungai. Walau bagaimanapun, banjir pada tahun 2000 telah mencatatkan sejarahnya tersendiri kerana ia merupakan banjir terbesar dalam 30 tahun di KGK.

KGK terletak kira-kira 1 km dari bandar Jerteh dan 8 km dari kawasan pantai yang menghubungkan Laut China Selatan. KGK didiami kira-kira 150 orang penduduk.


Empangan Jajar, Besut

Mengikut sumber, banjir pada tahun 2000 berlaku kerana tanah tinggi di sebuah bukit di Kampung Keruak yang menjadi kawasan tadahan hujan telah runtuh. Air tersebut telah mengalir dan melimpah ke Empangan Jajar yang terletak di Kampung Gong Duek. Tekanan air menjadi tinggi dan empangan ini tidak dapat lagi menampung tekanan tinggi daripada air. Oleh itu, kerajaan terpaksa membuka empangan untuk mengalirkan air yang berlebihan bagi mengelakkan empangan itu daripada pecah. Air banjir tersebut telah melimpah ke sungai dan kawasan rendah termasuklah kampung saya



Anak Panah merupakan kawasan KGK

Banjir pada tahun 2000 merupakan banjir besar yang terakhir berlaku di kampung saya sehingga kini. Saya masih ingat lagi peristiwa ini walaupun ketika itu saya masih berumur 7 tahun....

HARI PERTAMA - hujan lebat tidak berhenti

Hujan lebat telah turun sepanjang hari. Pada mulanya, hujan lebat ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan berlakunya banjir.

Kemungkinan besar banjir akan berlaku dek hujan lebat. Saya pergi ke sungai berdekatan dengan rumah untuk melihat paras air sungai. Kelihatan air sungai semakin naik. Sungai Jerteh telah melepasi paras amaran dan sesetengah air sungai di kawasan lain sedang naik dengan mendadak. Penduduk kampung mula mengambil langkah awal untuk menghadapi banjir.


Paras air sungai di jambatan Jerteh telah melepasi paras amaran

Saya dan adik-beradik mula mengemas perabot, barangan elektrik dan dokumen-dokumen penting di bawah rumah untuk dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi. Tidak ketinggalan juga jiran-jiran dan penduduk kampung mula sibuk untuk menyelamatkan barang-barang berharga sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam hati, saya menyahut kegembiraan menantikan banjir kerana tak sabar nak mandi air banjir....maklumlah banjir hanya berlaku setahun sekali...

HARI KEDUA - air mulai naik

Hujan semakin lebat dan tidak berhenti-henti. Air sungai mula melimpah di kawasan rendah termasuklah jalan raya. KGK telah terputus hubungan dengan kampung lain. Kenderaan sudah tidak boleh melalui jalan raya. Beberapa sekolah telah terpaksa ditutup disebabkan banjir ini termasuklah sekolah saya iaitu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh. Kawasan taman permainan berdekatan rumah saya turut ditenggelami air selain stesen minyak yang terdekat iaitu Petronas dan Esso Mobil. Kemudahan insfrastruktur seperti pengangkutan awam turut terkandas.

Antara kawasan yang dilanda banjir ialah Kampung Tok Has, Kampung Lak Lok, Kampung La, Kampung Nyiur Tujuh, Kampung Jawek, Kampung Tandak, Kampung Lubuk Kawah, Kampung Bukit Yong, Kampung Gong Nering dan Kampung Darau.



Jalan Raya di Kampung Gong Kemuntong menuju ke Kampung Gong Nering


Tiada sebarang kereta boleh melalui air sedalam 1 meter di atas jalan raya

Penduduk kampung bergegas memindahkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi dan kebanyakannya meletakkan kenderaan di bandar Jerteh kerana di situ kawasan tinggi dan tidak dinaiki air. Keluarga saya tidak perlu risau akan perkara ini kerana pada masa itu kami tidak mempunyai kereta tetapi hanya sebuah motorsikal.

Oleh kerana itu, saya bersama-sama abang dan ayah terpaksa memikul motorsikal untuk diletakkan di ruang tamu di dalam rumah. Kalau ditanyakan orang lain, perkara ini tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Bukan sebarang orang yang telah buat perkara ini.....


Air naik dengan begitu cepat...

Akhirnya hajat saya tercapai... Sekeliling rumah saya dibanjiri air. Air naik dengan begitu pantas. Saya dan adik menaiki basikal meredah air banjir di sekeliling rumah sambil bermandi air hujan dan air banjir...

HARI KEEMPAT - air mulai surut

Hujan mulai berhenti sejak petang semalam. Paras air semakin surut sedikit demi sedikit. Saya dan adik sekali lagi mengambil kesempatan untuk bermain dan mandi air banjir... Saya sangat gembira kerana seharian menghabiskan masa untuk mandi air banjir. Kelihatan jiran di sebelah rumah juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda air banjir....



Bersama-sama adik - beradik yang lain bermandi - manda air banjir walaupun air masih dalam


Abang saya bemandi-manda air banjir

Ketika bermain air, saya terlihat itik yang dipelihara ayah terlepas dari kandang dan berenang dengan bebasnya melepaskan diri... Kelihatan itik itu berenang dengan gembira dan berenang sangat laju. Aku dan adik ingin mengejarnya tetapi hajat itu tidak kesampaian kerana air masih dalam. Mungkin ini rezeki bagi itik tersebut terlepas daripada disembelih ayah....


Bermain air banjir di luar rumah sekeluarga


Jiranku, Pakcik Wail tidak terkecuali meredah air banjir



Ibu dan ayah saya bergambar di hadapan rumah saya yang ditenggelami air.
Kalau diperhatikan, tiang besar berwarna merah rumah saya itu menandakan bekas paras air banjir paling tinggi 


Kesemua adik - beradik saya dapat merasai pengalaman banjir ini kecuali abang sulung saya kerana pada waktu itu dia sedang menduduki peperiksaan SPM. Dia dan kawan-kawan yang lain tidak dibenarkan pulang ke rumah masing - masing kerana jalan yang menghubungkan sekolahnya dan kampung saya telah dinaiki air.

Kawasan lain yang turut dilanda banjir pada masa itu ialah di Setiu dan sesetengah tempat di kawasan Kuala Terengganu.



HARI TERAKHIR - Penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing

Hujan telah berhenti sejak petang semalam. Air banjir semakin surut. Penduduk kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir telah pulang ke rumah masing-masing. Banyak rumah yang kejinga-jingaan kerana diselaputi lumpur. Rumah saya juga tidak terkecuali. Kami sekeluarga bergotong-royong membersihkan rumah supaya kelihatan cantik seperti asal.

Setelah air banjir surut sepenuhnya, saya dan adik mengelilingi kampung untuk melihat persekitaran kampung selepas banjir. Banyak harta benda yang rosak seperti telefon awam dan taman permainan. Saya berkesempatan mengunjungi rumah Pakcik Hasshim dan terkejut kerana kesemua burung puyuh yang dipeliharanya mati lemas semasa banjir kerana tidak sempat dipindahkan ke kawasan tinggi. Kerugian yang dialami Pakcik Hasshim dianggarkan sebanyak RM5000. Saya juga berasa kasihan kepada Pakcik Wail kerana dia juga telah mengalami kerugian yang besar kerana binatang peliharaannya iaitu lembu dan kambing turut mati lemas dalam kejadian banjir ini. Kerugian Pakcik Wail dianggarkan sebanyak RM15000.

Saya berasa bersyukur kerana keluarga saya tidak  mengalami kerugian yang besar seperti yang dialami
Pakcik Hasshim dan Pakcik Wail. Saya juga amat bersyukur kepada Allah kerana tiada kehilangan jiwa yang  dilaporkan berlaku ke atas keluarga dan penduduk kampung semasa kejadian banjir ini.

Saya juga berasa bertuah tinggal di bumi Malaysia kerana bencana banjir yang berlaku di negara saya tidaklah seteruk di luar negara seperti yang sering tertera di kaca televisyen dan di dada - dada akhabar.


AIR banjir menderu deras dari kawasan tinggi seperti jeram sungai di wilayah Sind di Pakistan dalam gambar yang dirakam oleh pertubuhan bukan kerajaan Merlin pada 7 Ogos 2010 

Sumber : 


Pengalaman banjir pada tahun 2000 ini merupakan pengalaman yang paling manis bagi saya dan keluarga serta penduduk KGK secara amnya. Ia telah menjadi sejarah dalam kamus hidup saya. Kenangan banjir ini tidak akan saya lupakan dan sentiasa terpahat di ingatan untuk selama - lamanya.